Cinta itu universal. Tetapi, biarlah aku berceloteh tentang cinta sesama manusia, sesama pasangan kekasih. Mungkin ramai yang pernah dan sedang merasai perasaan cinta di antara pasangan kekasih.
Apabila bercakap tentang cinta sejati di antara pasangan kekasih, ramai yang terus menyebut Romeo dengan Julietnya, dan Shah Jahan dengan Mumtaznya. Apakah yang di maksudkan dengan cinta sejati? Apa yang kita dapat lihat dari dua pasangan yang ku sebut tadi sehingga mereka sering di sebut sebagai pasangan sejati? Romeo dan Juliet, masing-masing membunuh diri kerana cinta. Sungguh tidak praktikal bagi mereka yang beragama. Bagaimana pula dengan Shah Jahan dan Mumtaz? Cukupkah dengan membina Taj Mahal sebagai tanda kasih? Tepuk dada, tanya selera.
Di era kini, banyak filem-filem dan novel-novel yang menceritakan kisah cinta agung. Aku, juga tidak ketinggalan. Memang sudah bagiku menonton dan membaca cerita kisah Cinta. Ada di antaranya mampu menyentuh perasaan hingga menitikkan air mata. Apakah yang membuatkan kisah-kisah fiksyen sebegini rupa menjadi kesukaan ramai? Biar aku bercerita tentang pasangan-pasangan kekasih yang aku gemari dari filem dan buku.
1. Pasangan pertama yang mendapat tempat di hatiku adalah
Devdas dan Paro dari Devdas. Aku tidak pernah membaca novel hasil tulisan Sarat Chandra Chatterjee. Aku hanya menonton filem arahan Sanjay Leela Bhansali. Aku menangis menonton filem ini. Aku seakan merasa keperitan yang di rasakan oleh Devdas apabila berpisah dengan Paro hanya kerana status kedudukan dan harta sehinnga di akhir hayatnya. Betapa dalamnya cinta Devdas, dia langsung tidak menghiraukan Chandramukhi, wanita cantik yang menaruh hati kepadanya.
2.
Orked dan Jason dari filem Sepet. Kisah cinta dua orang anak muda yang berlainan bangsa dan agama. Filem ini menegaskan cinta tidak kenal rupa, bangsa ataupun agama. Yang penting adalah budi pekerti seseorang. Abah Orked menghalang mereka bercinta kerana perilaku Jason yang dikatakan samseng, bukan kerana agama atau bangsanya.
3.
Shin Dong Hyuk dan Suh Jin Young dari drama bersiri Korea, Hotelier. Mungkin tidak ramai yang ingat akan drama ini. Aku amat meminati drama ini. Aku sanggup membeli VCD drama ini, supaya aku dapat menontonnya berulang kali. Aku suka akan kedua pasangan ini, bagaimana egoisnya si wanita ingin menafikan perasaannya kepada si lelaki, hanya kerana pekerjaan si lelaki yang menjadikan mereka bermusuhan. Bagaiman ahebatnya si lelaki yang sanggup memperjudikan masa depannya demi si wanita.
4.
Nina dan Jeff. Dua watak di dalam buku Ma Lee Chuswan yang bertajuk Lamaran Kedua. Apa hebatnya pada pasangan ini? Si wanita yang terusik hati dengan si lelaki hilang dalam perasaannya sendiri. Ianya penuh dengan perasaan emosi. Mempersoalkan tentang sikap-sikap manusia yang sering ada di dalam perhubungan.
5.
Melanie dan Jack dari filem Sweet Home Alabama. Mungkin ramai yang berpendapat tiada apa yang istimewa tentang dua pasangan ini. Aku menonton filem ini berulang kali. Filem ini, mengisahkan tentang cinta pertama. Betapa hebatnya cinta pertama, kemana pun pergi, ianya tetap menghantui diri kita.
6.
Sam dan Molly dari filem Ghost. Tentu ramai yang tertanya-tanya, kenapa pasangan ini di tangga ke enam. Aku pasti ramai yang mengatakan ianya seharusnya di tangga yang pertama. Memang, cinta suci itu tidak akan padam. Kita akan tetap menyayangi mereka yang sudah pergi. Aku juga mengakui yang sudah pergi tetap akan memerhati kita dari jauh. Cinta itu memang kuat.
7.
Meredith dan Matthew. Watak dari buku yang bertajuk Paradise, hasil tulisan Judith McNaught. Aku amat menggemari buku ini. Sudah berulang kali aku membacanya. Buku ini menegaskan kisah cinta suami isteri yang terpisah. Suami isteri tidak akan dapat di pisahkan walau bertahun lamanya, kalau cinta sudah sebati dalam diri mereka.
8.
Nurul Umairah dan Ahmad Fuad dari buku hasil tulisan Aisya Sofea yang betajuk Kau Untukku. Aku membaca buku ini sebulan yang lepas. Sudah berulang kali aku membacanya. Aku amat menyukai jalan ceritanya. Dalam buku ini dapat dilihat kelemahan manusia di dalam percintaan.
9.
Serena dan Lord Vulcan dari filem A Hazard of Hearts. Filem ini sudah agak lama juga. Mungkin tidak ramai yang pernah menonton filem ini. Kenapa aku menyukainya? Aku kurang pasti. Yang nyata, ianya adalah filem kisah cinta yang aku minati semasa aku berusia di awal remajaku. Sudah agak lama juga kan.
10. Pasangan terakhir,
Pandora dan Marius. Agak berbeza sedikit. Pasangan vampire ciptaan Anne Rice ini amat ku sukai. Aku mengenali watak ini dari buku Pandora. Aku tidak perlu bercerita lebih panjang tentang mereka. Cukuplah aku katakan, keunikan Vampire nyata di sini.
Nyata, berbeza-beza pasangan fiksyen yang aku gemari. Masing-masing mempunyai keunikan yang tersendiri membuatkan aku menggemari mereka. Perlu di ingat juga, mungkin ada pasangan yang jauh hebat, Cuma aku belum pernah menonton filemnya ataupun membaca buku itu. Jadi, apakah yang di katakan cinta sejati itu? Aku kurang pasti. Masing-masing mempunyai intepretasi mereka yang tersendiri tentang cinta.
Bagiku, cinta di antara pasangan kekasih adalah persefahaman dan saling menghormati. Tidak semestinya cinta itu di tafsirkan dari ke intiman. Orang kita, apabila mempersoalkan tentang cinta, mereka selalu keliru dengan nafsu dan seks. Benar, ianya mengukuhkan cinta, tetapi kita tidak boleh hanya berpegangkan kepadanya. Kalau cinta hanya seks dan nafsu, apa bezanya dengan pelacur? Cinta lebih daripada itu. Mesti ada komunikasi antara dua pihak. Mesti saling memahami, menghormati dan menyayangi. Itulah yang dikatakan cinta.